Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 17, 2017

Fenomena kleptokrasi: Lagi ulasan bekas wartawan

October 17, 2017
Himpunan Padang Timur dan fenomena kleptokrasi
Zin Mahmud
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pemidato utama dalam himpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu lalu.

Melihat perhimpunan ini, dapat dirasakan ia disertai lebih oleh para penyokong tegar dan aktivis PH, bukannya orang ramai dari kalangan pengundi biasa. Maka perhimpunan itu adalah penegasan semangat dan solidariti penyokong PH.

Ia tidak seperti perhimpunan Bersih yang menyaksikan kehadiran orang ramai dari kalangan pengundi biasa. Kalau semasa perhimpunan Bersih, mereka mengenakan pakaian baju kuning, di perhimpunan ini, mereka memakai baju merah. Tidakkah semasa perhimpunan Bersih dahulu, merah ini adalah warna baju pihak yang menentang Bersih?

Kehadiran PPBM mewarnai PH. Pengaruh parti itu juga menyebabkan warna rasmi PH ialah merah, iaitu warna PPBM. Sebagai parti serpihan Umno, parti itu mengekalkan warna merah.

Bagaimanapun, di kalangan parti PH yang turut mempunyai warna merah pada bendera mereka ialah PKR dan DAP.

Pada generasi yang menentang Dr Mahathir, baik dari kalangan penyokong DAP, PKR dan Parti Amanah yang dahulunya PAS, tentulah ia mengambil masa dan perasaan untuk menerima kepimpinannya.

Bersama Dr Mahathir di pentas ialah pemimpin utama PH termasuk presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu. Semua pemimpin itu juga mewakili parti masing-masing iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah. Yang tentunya tidak dapat hadir ialah Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang pemimpin amat penting bagi PH tetapi bukan anggota Majlis Presiden iaitu Lim Kit Siang, turut hadir.

Tetapi PH masih belum dapat didaftarkan. Maka secara rasmi, mereka berada di situ menurut jawatan parti masing-masing. Dr Mahathir ialah pengerusi PPBM, Dr Wan Azizah presiden PKR, Guan Eng setiausaha agung DAP, Mohamad Sabu ialah presiden Amanah dan Kit Siang ialah ketua Parlimen DAP.

Pada hakikatnya, bagaimanapun, 3 pemimpin paling utama tanpa mengira jawatan mereka ialah Anwar, Dr Mahathir dan Kit Siang. Dalam perhimpunan itu, Dr Mahathir menjadi pemimpin paling utama kerana beliau memegang jawatan tertinggi dalam PH dan dapat hadir dalam acara itu.

Kehadiran beliau sebagai pemimpin utama pihak pembangkang adalah kerana kesungguhan beliau untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN). Rasional penubuhan PPBM ialah melawan kleptokrasi yang dikaitkan dengan isu 1MDB dan kerajaan BN.

1MDB kemuncak kleptokrasi

Tetapi kleptokrasi itu adalah lebih daripada soal 1MDB. Walaupun perkataan itu mula diambil daripada ucapan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tetapi konsep itu menggambarkan suatu budaya yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Umno.

Apa yang berlaku pada 1MDB adalah hanya dianggap sebagai satu kemuncak budaya kleptokrasi itu. Apa yang dimaksudkan dengan budaya kleptokrasi adalah bukan saja korupsi tetapi juga penyelewengan dan ketirisan. Mungkin ia tidak melanggar undang-undang, serta mematuhi peraturan pentadbiran tetapi dari segi moral dan nilai amanah wang rakyat, ia tidak dapat diterima.

Ia berbentuk penggunaan dana awam yang diperuntukkan untuk sesuatu projek, sementara yang memperoleh manfaatnya adalah syarikat berkaitan dengan ahli-ahli politik BN. Atau sekurang-kurangnya dana ini disalurkan kepada parti BN untuk aktiviti politik mereka, tetapi buat waktu yang sama, ia juga memenuhi kepentingan peribadi.

Fenomena ini boleh dikatakan berkembang melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang pada mulanya berjalan dengan jujur tetapi setelah berdekad-dekad berlaku, maka pelbagai kisah negatif mula kedengaran.

Walaupun tidak ada kajian khusus terhadap fenomena ini, namun ia seolah-olah sudah menjadi rahsia umum yang diketahui oleh orang ramai. Keadaan ini menyebabkan kelunturan keyakinan di kalangan orang ramai.

Dr Terence Gomez, ahli akademik Universiti Malaya, banyak membuat kajian terhadap hubungan syarikat di Malaysia yang berkait dengan parti politik BN sejak DEB. Ia jadi satu bidang khusus dalam ekonomi politik Malaysia.

PPBM selaku parti yang anggotanya adalah bekas Umno, dengan pengerusinya adalah bekas presiden Umno dan presidennya adalah bekas timbalan presiden Umno, tentu lebih mengetahui dan faham dengan fenomena ini, lebih daripada parti lain dalam PH seperti DAP dan Amanah.

Bagi aktivis PKR yang pernah menjadi ahli Umno, mereka juga mungkin lebih faham tentang perkara ini.

Tetapi bagi orang ramai, termasuk penjawat awam dan wartawan, ia hanya menjadi kisah yang hanya dibicarakan di depan teh tarik. Kecuali mereka yang berdepan dan mengalami sendiri fenomena ini.

Kalaulah isu 1MDB tidak timbul, maka soal kleptokrasi pun tidak ada. Jika itu berlaku tentunya PPBM tidak ditubuhkan. Andainya keadaan itu berlaku, maka PH kekal dianggotai 3 parti saja iaitu PKR, DAP dan Amanah.

Jika keadaan itu yang berlaku, pemimpin utama masih Anwar tetapi yang perlu tampil ke depan seperti dalam perhimpunan itu ialah Dr Wan Azizah. Tanpa isu 1MDB, slogan perhimpunan itu tidaklah menjadi “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi”. Mungkin perhatian PH adalah terhadap kesusahan hidup seharian rakyat. Mungkin slogannya menjadi “Sayangi Malaysia, Hapus GST” atau isu-isu lain berkaitan dengan kebajikan rakyat.

Begitu juga, andai kata PAS masih bersama dengan PKR dan DAP, maka Pakatan Rakyat terus wujud dengan Amanah tidaklah ditubuhkan. Kewujudan Amanah adalah semata-mata kerana menolak perbalahan PAS dengan DAP yang membawa kepada kemusnahan Pakatan Rakyat.

Andai kata Pakatan Rakyat masih wujud tentulah di atas pentas, pemimpin yang berdiri di atas pentas itu ialah Dr Wan Azizah, Guan Eng dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS.

Kit Siang tetap akan ada. Tetapi perjuangan Pakatan Rakyat adalah “Reformasi”. Begitu jugalah perjuangan PH sebelum kemasukan PPBM.

Gagasan Reformasi ini adalah lebih luas daripada menentang korupsi, kolusi dan nepotisme. Parti Keadilan Nasional bukan hanya mahu memperjuangkan keadilan untuk Anwar. Apa yang dimaksudkan dengan keadilan itu bukan saja keadilan awam tetapi juga keadilan politik dan keadilan sosial. Sementara Reformasi pula adalah usaha pembaharuan dalam masyarakat, iaitu dalam pelbagai bidang, bukan saja politik, ekonomi dan sosial, malahan budaya. Gagasan Reformasi ini belum dapat benar-benar difahami oleh masyarakat.

Apa yang difahami oleh masyarakat, ia hanya berupa bentuk persaingan personaliti politik antara Anwar dan Dr Mahathir. Kini apabila Dr Mahathir dan Anwar adalah sepakatan, maka persaingan mereka adalah dengan Datuk Seri Najib Razak.

Masyarakat lebih mudah memahami persaingan personaliti politik daripada kandungan perjuangan seperti idealisme, ideologi dan etika. Untuk memahami apakah itu demokrasi dan kleptokrasi, ia memerlukan pencernaan intelektual.

Tetapi umumnya, warganegara tahap purata (average citizens) hanya mengikut dendangan emosi politik menurut rentak propaganda media, khususnya pada masa ini, ialah media sosial.

* Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Pembantu Rosmah: Himpunan antikleptokrasi gagal raih sokongan belia

Pembantu Rosmah: Belia tak sokong himpunan antikleptokrasi
mk   -   Hari ini, 10:49 pm
Himpunan 'Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' yang berlangsung hujung minggu lalu di Padang Timur, Petaling Jaya didakwa pembantu isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor sebagai tidak mendapat sokongan golongan muda.

"Saya rasa, hasil pertemuan dengan beberapa anak muda, mereka tak datang himpunan bukan kerana tengok MU lawan Liverpool.

"Tetapi mereka tak sertai himpunan kerana bosan, keliru dan penat melihat telatah pakatan pembangkang di negara ini," katanya.

Rizal berkata golongan belia bosan dengan politik yang dimainkan pembangkang.

"Cerita pasal nak tumbangkan BN tetapi mereka sendiri tak keruan, siapa bakal PM pun tak boleh umum dan yang paling ketara, berpecah bergaduh sesama sendiri sepanjang masa," katanya.
Menurut Rizal golongan belia juga keliru atas pensejajaran politik baharu pembangkang menyatukan tokoh-tokoh yang pernah menjadi seteru politik.

"Mereka keliru kerana Tun Dr Mahathir, yang dahulunya dimaki dicerca dan digelar dengan segala macam benda sama seperti yang mereka lakukan kepada PM Datuk Seri Najib sekarang, telah disambut dan dirai bagai seorang hero oleh pimpinan pakatan pembangkang.

"Contohnya, DS Wan Azizah duduk sebaris dengan lelaki yang pernah penjarakan suaminya," kata Rizal dalam kenyataannya hari ini.

Himpunan antikleptokrasi itu berakhir dengan pihak penganjur mengumumkan kehadiran 25,000 peserta. Malaysiakini pula menganggarkan jumlah hadirin kira-kira 8,000.

Manakala Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan jumlah kehadiran peserta perhimpunan sekitar 4,000 orang.

Penganjur sebelum ini menyasarkan kehadiran 100,000 peserta.

Monday, October 16, 2017

Kami membenci perlakuan buruk itu......

PERSATUAN PATRIOT KEBANGSAAN TIDAK SENANG KELAKUAN BURUK JAMAL YUNOS
Persatuan Patriot Kebangsaan melahirkan kebimbangan dengan telatah Datuk Seri Jamal Md Yunos dengan gimik dilakukannya sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri Selangor dakwanya, boleh mengundang teladan tidak baik terhadap golongan belia dan memberi kesan buruk kepada perpaduan dalam negara.

Presidennya Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata, persatuan itu sangat tidak menyenangi kelakuan buruk yang ditonjolkan pemimpin Gerakan Baju Merah yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu.

“Dari keranda ke tuala mandi dan terkini memecahkan botol arak adalah kelakuan dan telatah yang tidak masuk akal sering dilakukannya.

“Sedangkan pembangkang dalam diam berkemungkinan mentertawakan kelakuannya kerana tindakan pemimpin Umno itu memungkinkan partinya kehilangan undi.

“Kami di Persatuan Patriot membenci perlakuan buruk itu. Ini kerana selain menganggu ketenteraman awam, beliau merupakan ‘role model’ yang buruk kepada golongan belia di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Arshad lagi, terdapat banyak cara boleh dilakukan Jamal untuk menunjukkan beliau protes terhadap sesuatu isu membabitkan Kerajaan Negeri Selangor yang di terajui Menteri Besar Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

“Terdapat cara yang lebih baik untuk memprotes dan melakukan demontrasi, tetapi jika ia menimbulkan kebencian dan permusuhan sudah tentu sama sekali tidak menepati konsep perpaduan kaum di negara ini.

“Kami adalah veteran tentera dan polis dengan bangganya berkhidmat kepada Raja dan Negara kami.

“Kami menghargai keharmonian rakyat dan keharmonian negara. Jamal yang menjadi ahli Kehormat Persatuan Veteran ATM Kuala Lumpur, telah mencemarkan imej Persatuan itu. Kami memohon agar keanggotaannya dalam Persatuan yang dihormati itu dibatalkan,” tegasnya.

Mohd Raji turut mengesa di kalangan ahli dan parti politik di negara ini mengurangkan ketegangan dalam suasana yang hampir kepada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kami menggesa ahli politik dan parti-parti politik untuk tidak menggalakkan budaya gengsterisme untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakharmonian, untuk mencapai matlamat masing-masing,” ujarnya.

Justeru beliau turut mempersoalkan perkembangan terkini Pelan Tindakan Perpaduan Nasional (Nasional Unity Blueprint) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2015 dalam mengariskan dasar perpaduan negara.

“Tan Sri Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara, berkata pelan itu berada di peringkat akhir penggubalan.

“Kami dan NGO lain seperti G25 dan Majlis Peguam terpanggil untuk bersama dalam pelaksanaan Pelan Perpaduan Nasional ini. Sebagai rakyat Malaysia kami ingin mengambil bahagian dalam perancangan di peringkat kerajaan pusat untuk bersama membantu mengukuhkan perpaduan dan keharmonian negara,” ujarnya. – sumber

"Saya penyelamat Aishwarya Rai dari kerakusan seks Harvey," bekas pengurus

Amirul Awaludin, Agensi |  Diterbitkan pada Oktober 16, 2017 15:30 MYT
Simon berkata bahawa Aishwarya Rai pernah menghadapi gangguan seksual ketika berurusan dengan Harvey - Foto Twitter Sunitha / @sunithadeadr

BEKAS pengurus Aishwarya Rai, Simone Sheffield percaya bintang Bollywood itu akan menjadi mangsa gangguan seksual penerbit, Harvey Weinstein sekiranya beliau meninggalkan aktres tersebut berdua-duaan dengan Harvey kira-kira 15 tahun lalu.

Simone yang merupakan pemilik Canyon Entertainment dipetik menerusi beberapa laporan mendakwa Harvey cuba mencari peluang untuk berdua-duaan dengan Aishwarya serta mengarahkannya meninggalkan mereka berdua berulang kali.

"Harvey bagaikan pembuli yang berperwatakan binatang. Beliau (Harvey) beberapa kali meminta saya untuk meninggalkan mesyuarat untuk berdua-duaan dengan Aishwarya tetapi saya menolaknya dengan sopan selain melindungi aktres tersebut.
  
"Harvey juga pernah bertanyakan saya bagaimana hendak bertemu Aishwarya secara bersendirian," katanya dipetik menerusi portal Dailymail UK.

Tindakan tidak bermoral Harvey tersebar apabila dia didakwa melakukan gangguan seksual ke atas bintang-bintang terkenal Hollywood seperti Angelina Jolie.

Aktres Angelina dan Gwyneth Paltrow mendedahkan mereka antara selebriti yang pernah menjadi mangsa serangan seksual Harvey ketika kedua-duanya berada di awal pembabitan bidang seni.

BBC melaporkan, pendedahan tersebut dibuat ketika beberapa aktres Hollywood serta kakitangan syarikat milik Harvey tampil membuat laporan mengenai perbuatan terkutuk penerbit itu sebelum ini.

Dalam pada itu, Simone yang dipetik menggesa lebih ramai mangsa wanita tampil mendedahkan perbuatan tidak bermoral Harvey agar beliau dikenakan hukuman setimpal.

"Lindungi satu sama lain, saling menyokong satu sama lain. Saling menyayangi," ujar Simon.

Netizen di Twitter bersyukur atas tindakan Simone melindungi aktres tersebut.

‘Islam Fasis’ cabaran baru negara

Kemunculan ‘Islam Fasis’ cabaran baru negara
HUSEIN MAHAT  -  October 15, 2017 11:56 am
Khalid Samad

Fahaman ‘Islam Fasis’ adalah bertentangan dengan konsep Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam kerana fahaman ini seolah-olah menyatakan, “Islam adalah untuk orang Islam demi kepentingan orang Islam dan untuk menguasai yang bukan Islam”.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, apabila konsep demokrasi, hak asasi dan hak minoriti dipertikai oleh beberapa golongan Islam dan dianggap sebagai ciptaan dan rekaan tamadun Barat, kecenderungan terhadap sikap fasisme di kalangan pemuda Islam dilihat seolah-olah semakin meningkat.

“Sedangkan kesemua konsep ini selari dengan kehendak Islam, malahan diceduk dari tamadun Islam. Dengan berlakunya kefahaman songsang ini, ia menjadikan sikap pelampau dalam kata-kata dan tindakan yang semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Kesan daripada fahaman ini, beliau menambah wujud kecenderungan memaksa dan kurangnya kecenderungan untuk berbincang dengan kelompok yang berbeza kepentingan bagi mendapat persetujuan.

Ungkapan “kami majoriti”, “ini negara Islam”, “bukan Islam jangan campur” dan sebagainya, tambah beliau mencerminkan sikap tidak mahu ambil tahu pandangan golongan minoriti dan yang bukan Islam.

Malahan golongan minoriti, katanya turut dijadikan ‘bogeyman’ untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian dengan golongan Islam yang membantah unsur-unsur fasis ini digelar liberal, pengkhianat dan sebagainya.


“Hasil dari itu kita mula melihat sikap semakin eksklusif atau ingin ‘menyucikan diri’ serta berpandang rendah terhadap golongan lain. Peristiwa gelas minuman yang diasingkan dan kedai dobi hanya untuk orang Islam adalah antara manifestasi sikap sebegitu. Sedangkan penyucian dari rasuah dan kleptokrasi tidak diendahkan kerana ianya bukan pertembungan Islam dengan bukan Islam,” ujar beliau.
Isu-isu pertembungan Islam-bukan Islam ini, jelas beliau menguntungkan golongan Islam fasis kerana pendekatan adu domba dan memaksa ini lebih berkesan dalam meluaskan pengaruh mereka di kalangan rakyat namun memberi kesan negatif dan mencemar imej Islam.

Menjelaskan tentang definisi fasis, Khalid berkata fasisme adalah sejenis fahaman haluan altra kanan atau nasionalisme yang ekstrem.

Tidak toleran

“Oleh itu ianya dikenali dari ciri-cirinya yang berjiwa sempit dan tidak menghiraukan prinsip-prinsip keadilan. Maka boleh dikatakan bahawa perjuangan ‘Fasisme’ merupakan perjuangan oleh satu kumpulan untuk mencapai penguasaan ke atas masyarakat dan negara demi kepentingan kumpulan tersebut semata-mata,” katanya.

Fasisme, jelas beliau bersifat eksklusif atau hanya untuk memenuhi visi kumpulan berkenaan dan tidak sama sekali mengendahkan kehendak mahupun kepentingan kumpulan lain.

Golongan fasis tambah Khalid adalah golongan yang tidak toleran terhadap pandangan dan kefahaman yang berbeza dan tidak merasa ragu-ragu untuk memaksakan pandangan mereka ke atas golongan lain walaupun secara kekerasan.

“Konsep ‘hak golongan minoriti’ dan ‘hak asasi manusia’ kesemuanya dirempuh tanpa merasa bersalah. Mereka memperalatkan kebencian dan kemarahan melalui isu-isu yang dibawa untuk mendapatkan sokongan. Pertembungan dan perbalahan adalah senjata mereka ke arah mendapatkan kuasa dan apabila mendapatnya mereka bersikap kuku besi,” ujarnya.

Menurutnya, golongan fasis mendapat justifikasi terhadap sikap angkuh dan rakus mereka sama ada melalui hujah keagamaan seperti golongan Zionis dan Klu Klux Klan atau bangsa seperti Nazi German.

“Golongan Zionis berpaksikan keyakinan bahawa mereka adalah bangsa pilihan Allah sambil falsafah Nazi German berteraskan konsep ‘Aryan super race’ iaitu keyakinan bahawa keturunan Aryan adalah bangsa utama dan berhak menjadi tuan ke atas semua bangsa lain.

“Begitu juga Klu Klux Klan mengambil justifikasi mereka dari konsep ‘ketuanan kulit putih’ dan pembelaan agama Kristian,” katanya.

Sehubungan itu, katanya dalam mengusahakan agenda politik mereka, kumpulan fasis ini tidak menghiraukan pandangan berbeza, malah secara terus terang menolak hak untuk berbeza pandangan.

Golongan fasis, ujar beliau menafikan hak minoriti dengan alasan ianya hak yang dimansuhkan atas kekuasaan majoriti.

Pendokong fasisme juga, jelas Khalid sering mewujudkan ‘musuh utama’ (bogeyman) yang direka dan diada-adakan bagi mempengaruhi masyarakat.

Pandu di lorong kecemasan: Bekas pegawai kanan JPJ pun kena

Bekas pegawai kanan JPJ didenda RM2,000 pandu di lorong kecemasan

  | October 16, 2017
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum termasuk penjara kepada Yusoff Ayob kerana dia adalah pegawai kanan JPJ dan sebagai amaran kepada penjawat awam lain serta orang ramai.
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret memutuskan bekas timbalan ketua pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob bersalah kerana memandu di lorong kecemasan, tahun lalu.
Hakim Muhammad Zaki Abd Kudos menjatuhkan denda maksimum RM2,000 kepada Yusoff dan dia perlu dipenjara 4 bulan jika gagal membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan memohon mahkamah menjatuhkan denda maksimum termasuk penjara kepada Yusoff atas 2 faktor.
“Dia ialah penjawat awam JPJ yang tertinggi, dia nombor 2 dalam JPJ. Dia dipertanggungjawabkan menjaga undang-undang dan dia pula melanggar undang-undang.
“Hukuman setimpal perlu diputuskan supaya mesej ini dapat disampaikan kepada orang awam dan penjawat awam lain,” katanya dalam kamar mahkamah.
Izzat turut merujuk kes rasuah membabitkan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada 2013.
“Khir sebagai menteri besar Selangor disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah. Pendakwaan rujuknya sebagai individu yang mempunyai kedudukan tinggi dan seharusnya memberi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Yusoff disabitkan bersalah mengikut Seksyen 119 (1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan didenda di bawah Seksyen 119 (2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum 6 bulan.
Dia dituduh memandu di lorong kecemasan menggunakan kereta bernombor pendaftaran BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.
Kes ini mendapat perhatian ramai kerana Yusoff menghantar pegawai khasnya untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya, pada 18 Julai lalu.
Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengenakan denda RM600 ke atasnya yang dibayar pegawai khasnya.
Tiga hari kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula dan membuat pengakuan sendiri terhadap dakwaan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Indera Ab Karim Ab Rahman yang menggunakan kuasanya menyemak keputusan Mahkamah Majistret itu, turut mengetepikan denda RM600 itu.
Pada 25 Julai lalu, Yusoff yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret.

Pesawat AirAsia dalam kecemasan: Anak kapal ‘menjerit dan menangis’ mencemaskan lagi penumpang

Anak kapal AirAsia ‘menjerit dan menangis’ ketika pesawat dalam kecemasan
TMI · Diterbitkan pada 16 Oct 2017 8:24AM 
Penerbangan dari Perth ke Bali itu mengalami masalah teknikal, menjunam jatuh daripada ketinggian 9,800 kepada 3,050m. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2017.

SEBUAH penerbangan AirAsia dari Perth ke Bali terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang semalam selepas tekanan dalam pesawat hilang menyebabkan pesawat itu menjunam jatuh 6,100m

Tetapi penumpang nampaknya menyuarakan rasa tidak puas hati kepada anak kapal penerbangan yang dakwa mereka "menjerit dan menangis" ketika penerbangan QZ535 itu mengalami masalah teknikal, menyebakan pesawat jatuh menjunam dari ketinggian 9,800 kepada 3,050m, lapor news.com.au.

Terdapat 145 pesawat di dalam penerbangan itu dan seorang penumpang memberitahu Perth Now yang “panik bertambah buruk disebabkan kelakuan anak kapal penerbangan yang menjerit, kelihatan takut dan terkejut.”

“Saya faham, tetapi kami bergantung kepada mereka untuk ditenangkan dan tidak menerimanya, kami bertambah risau disebabkan mereka sangat panik,” kata Clare Askew salah seorang penumpang.

Topeng oksigen dikeluarkan untuk penumpang dan mereka diminta duduk bersedia dalam posisi terhempas.

Seorang penumpang bernama Tracy pula yang menaiki pesawat itu dengan anak lelakinya, Jayden dipetik berkata:

“Anak saya kata dia tak mahu naik penerbangan lain tetapi saya kata kepadanya ia tak mungkin berlaku dua kali berturut-turut. Ia betul-betul menakutkan saya untuk terbang lagi. Saya menaiki AirAsia setiap tahun.”

Ini adalah kejadian kedua melibatkan penerbangan AirAsia dari Perth. Pada Jun lalu, pesawat D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Perth kerana masalah teknikal.

Penerbangan yang membawa 359 penumpang itu terpaksa berpatah balik dan seorang penumpang mengatakan “ia bergegar seperti mesin basuh”.

Pesawar Airbus A330 mengalami masalah itu selepas 90 minit berlepas. Juruterbangnya dikritik ramai kerana memberitahu penumpang supaya berdoa untuk keselamatan pesawat.

Semalam, AirAsia berkata juruteranya di lapangan terbang Perth sedang menyiasat kejadian itu.

“Keselamatan tetamu kami adalah keutamaan paling utama,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. “AirAsia Indonesia meminta maaf atas sebarang kesulitan dihadapi.” – 16 Oktober, 2017.

Zamihan diangkat sebagai ‘pejuang’ pula

Selepas bebas, Zamihan diangkat sebagai ‘pejuang’, bantah pesta arak di Johor

  | October 16, 2017
Pegawai Jakim itu menghantar mesej 'perjuangan' di samping diangkat sebagai pejuang kebenaran oleh penyokongnya walaupun dilabel 'angkuh' oleh Sultan Johor.
PETALING JAYA: Walaupun dibidas Sultan Johor sebagai “angkuh” dan “tin kosong”, Zamihan Mat Zin kembali aktif dengan pelbagai muat naik di Facebook beliau, termasuk membantah penganjuran pesta arak di Johor, sambil diangkat sebagai “pejuang Islam” oleh penyokongnya.
Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru-baru ini disiasat berhubung kritikannya terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memuat naik pelbagai mesej “perjuangan” selepas dibebaskan Sabtu lalu.
Zamihan, 41, yang mengetuai NGO beliau, Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), ditahan berhubung ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam pada 7 Oktober, yang menyelar Sultan Ibrahim kerana menghalang dasar sebuah kedai dobi di Muar, Johor untuk hanya berurusan dengan orang Islam.
Zamihan juga mengundang kecaman kerana menyifatkan orang bukan Islam tidak bersih sehinggakan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian penganut Islam.
“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan seperti dipetik rakan video ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Selepas klip tersebut viral di Youtube, Zamihan menuduh beberapa media memutar belit ucapannya, walapun memohon ampun kepada Sultan Johor beberapa jam sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan.
Bagaimanapun, Sultan Ibrahim membidas pegawai Jakim itu dan mengarahkan pihak berkuasa agama negeri tidak berurusan dengan Jakim.
“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” menurut ucapan Sultan Ibrahim di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat pada Sabtu.
“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” tambahnya, merujuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Kenyataan keras Sultan Johor itu bagaimanapun tidak menghalang pelbagai muat naik di Facebook Zamihan, mengangkat penceramah agama yang terkenal dengan gayanya menghentam tokoh agama lain itu sebagai “pejuang akidah” yang difitnah.
Bantah pesta arak Johor
Pada hari sama dibebaskan, Facebook Zamihan memuat naik sokongan terhadap usaha membantah sebuah pesta arak di Johor.
“Kita akan bersatu mempertahankan Islam. Inilah isu yang besar wajib kita tangani, selamat berjuang kepada pertubuhan Islam yang menegakkan kebenaran,” menurut kiriman yang didahului dengan perkataan “[Admin]”.
Ia merujuk laporan sebuah portal berita mengenai memorandum dikemukakan sebuah kumpulan dikenali Majlis Ayahanda Johor, membantah penganjuran pesta arak secara tertutup di sebuah hotel di Johor Bahru, hujung minggu lalu.
Ia menerima sokongan penyokong Zamihan yang meninggalkan pelbagai komen, termasuk beberapa kenyataan dilihat mempersoalkan pendirian Sultan Johor berhubung kedai dobi “mesra Islam”. Mereka mempersoalkan mengapa layanan berbeza kepada pesta arak tesebut, yang sebelum ini dibantah PAS dan kumpulan Islam lain, dan dibatalkan permitnya oleh polis atas alasan keselamatan.
“Pesta arak takpe kerana utk perpaduan… dobi mesra Muslim tak bleh kerana boleh rosakkan perpaduan rakyat… kena fhm dan hadam elok-elok wahai umat Islam,” tulis pengguna Facebook Mohd Noor Bin Idris.
“Tin kosong takda arak. Tin tak kosong ada arak,” tulis seorang lagi, Subri Mohamad.
Selasa lalu, Majlis Raja-Raja mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim” sebagai tindakan yang bersifat keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian, dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.
‘Cekal berjuang’
Sejurus selepas pembebasannya, muat naik pertama Zamihan melahirkan dukacita atas kematian seorang tokoh guru agama di Kelantan.
“Insyallah Ayahanda, ana (saya) tetap cekal menyambung delegasi perjuangan akidah ini!” tulisnya.
Ia disusuli dengan amaran Zamihan untuk melawan kumpulan berfahaman Ahmadiah, yang difatwakan sesat dan di luar ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Awas, akan dibanteras sehabisnya golongan liberal dan ‘kelompok’ yang sentiasa bersama mereka,” katanya, sambil memuat naik poster perhimpunan tahunan Jemaah Ahmadiah Muslim Malaysia, dan mengajak orang ramai “sebarkan bantahan” terhadap program tersebut.
Petang semalam, sasarannya dihalakan terhadap golongan LGBT, walaupun tidak menyebut secara khusus siapa dimaksudkannya.
“Umat Islam kena peka tentang keadaan isu semasa berkaitan ancaman budaya barat. Mari kita bersama memberikan kesedaran kepada umat Islam di Malaysia,” katanya dalam muat naik yang juga didahului perkataan “[Admin]”.

Kerjasama UMNO-PAS: Benarkah UMNO bertepuk sebelah tangan?

Kerjasama politik: UMNO bertepuk sebelah tangan, kita tak sambut - Dewan Ulama Pas
Harits Asyraf HasnanAstro Awani |  Oktober 15, 2017 12:24 MYT
Kerjasama politik: UMNO bertepuk sebelah tangan, kita tak sambut - Dewan Ulama Pas
"Harap-harap tidak akan berlaku sebab kita kena jaga akar umbi kita yang memang tidak mahu (kerjasama) dengan UMNO. Dah serik dah." - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Mahfodz Mohamed - Foto BERNAMA
GOMBAK: Pas menyifatkan UMNO Kelantan 'bertepuk sebelah tangan' dalam isu kerjasama politik yang digembar-gemburkan pemimpinnya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan, Pas tidak pernah berbincang berkenaan kerjasama sama politik dengan UMNO termasuk pengagihan kerusi.

"Buat masa kini, kalau kata orang tu, tepuk tangan sebelah la, tak bunyi. Pas memang tak sambut. 

"Harap-harap tidak akan berlaku sebab kita kena jaga akar umbi kita yang memang tidak mahu (kerjasama) dengan UMNO. Dah serik dah.

"Sekarang ini, bila mereka (UMNO) tak kuat, dia (UMNO) nak dekat kita (Pas), bila (UMNO Kelantan) kuat nanti tendang macam mana yang berlaku dulu-dulu," katanya ketika ditemui media pada Kuliyah Dhuha, Dunia Islam Masa Kini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan akan ada lebih banyak kerjasama termasuk kerjasama politik antara UMNO dengan Pas.

Katanya, ia termasuk usaha kedua-dua parti untuk menumbangkan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sunday, October 15, 2017

RUU355: Setelah kapirkan sana sini, minta tangguh pulak dah?

Mahfodz: Lebih baik RUU355 ditangguh lepas PRU
Shakira Buang    -    Hari ini, 3:18 petang
PAS melihat kemungkinan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 bakal ditangguhkan sekali lagi selepas pilihan raya umum.

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata adalah lebih baik usul itu ditangguhkan sekiranya ia tidak mendapat sokongan Umno pada masa ini.

“Kalau boleh kita nak bentang (RUU355) dan terus menang.

“Jadi (untuk capai kemenangan itu), kita kena buat perkiraan kalau orang Umno, bahkan Islam yang lain tidak sokong, lebih baik tangguhkan dulu,” kata Mahfodz sewaktu ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ogos lalu, Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul RUU355 yang dibawa Abdul Hadi itu selepas ia dibentangkan buat kali ketiga.

Walaupun usul tersebut berada dalam senarai kertas aturan mesyuarat, ia tidak dibahas bagi memberi keutamaan kepada usul-usul yang dibawa kerajaan.

RUU355 pertama kali dibentangkan Abdul Hadi pada Mei 2016 bagi meningkatkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan pada masa ini.

Sementara itu Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 23 Oktober hingga 30 November depan.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata dengan penangguhan itu PAS mampu mendapat sokongan lebih besar sekiranya sasaran kerusi untuk dimenangi parti Islam itu berjaya.

PAS yakin atasi AMANAH

Katanya, dalam usaha memastikan RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat, PAS nekad bertanding lebih banyak kerusi parlimen daripada sebelum ini, iaitu 100 kerusi.

"Lepas pilihan raya, selepas banyak kerusi yang kita menang, barulah (bawa semula RUU355 ke Dewan Rakyat)," katanya.

Mahfodz berkata, parti Islam itu kini dalam usaha memperkasakan jentera bagi merampas beberapa negeri, selain yakin dapat menyaingi parti serpihannya AMANAH.

"PAS yakin menang lebih kerusi daripada AMANAH.

"Sasaran kita adalah kekalkan kerusi di Kelantan dan Selangor, ambil semula Terengganu dan Kedah serta menambah beberapa kerusi lain,"katanya.

Azam dan janji Tun M kepada penyokong teraniaya

Pakatan Harapan azam ganti kerugian penyokong teraniaya
ATIRAH HASLI  -  14 OKTOBER 2017
Peserta himpunan mengangkat tangan sebagai ikrar semasa Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

PETALING JAYA - Pakatan Harapan berjanji akan menggantikan semula sebarang bentuk kehilangan atau kerugian yang dialami mereka yang dianiaya kerajaan, selama ini.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan direalisasikan Pakatan sekiranya mereka menang pada PRU akan datang.

"Mereka yang kehilangan jawatan, diputuskan pencen, tak naik gaji atau kehilangan jawatan, bila kami menang pada PRU14, Pakatan akan gantikan kehilangan mereka ini.

"Oleh itu, kita mesti beranikan diri, bukan hanya memangkah Pakatan, tapi harus berani berdiri tegak dan membantah sebarang usaha merebut hak yang ada pada kita," katanya dalam ucapan himpunan 'Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi,' hari ini.

Bagaimanapun menurut Mahathir, untuk memperoleh kemenangan, beliau meminta rakyat bersama-sama bekerjasama dan menyokong pihaknya.

"Kita tak boleh takut bekerjasama untuk menolak BN dan memangkah Pakatan pada PRU nanti. Tak kan kita takut sampai nak pangkah (Pakatan) pun tak berani?" soalnya.

Menurutnya lagi, kepimpinan Pakatan tidak minta sokongan masyarakat, sebaliknya merekalah yang akan menyokong kehendak masyarakat.

"Kita sedar ramai yang tertekan dan terpaksa menyokong kerajaan BN. Oleh itu jangan takut untuk berdiri tegak dan bersuaralah," ujarnya.

Tuudia.......mertua dan menantu sama-sama tibai

Seleweng dana KKLW: Menantu lelaki ditahan SPRM
Assim HassanAstro Awani |  Oktober 14, 2017 22:10 MYT
Seleweng dana KKLW: Menantu lelaki ditahan SPRM
Individu itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana KKLW di Sabah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di pejabat SPRM pada pukul 5.15 petang ini.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu merupakan menantu kepada individu yang ditahan pada Selasa lalu selepas membuat pemeriksaan di rumahnya di Putatan, Sabah.
Pada pukul 9.30 malam Selasa lalu, SPRM menahan bapa lelaki terbabit di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Penahanan suspek menjadikan lapan individu telah ditahan SPRM berhubung siasatan kes penyelewengan dana KKLW di Sabah.

Dua daripada mereka iaitu seorang pemimpin kanan parti pembangkang dan seorang kontraktor telah dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam dan hari ini.

Mulut Zamihan punya pasal

Putrajaya mohon mengadap Sultan Johor jelaskan isu Zamihan
TMI  -  Diterbitkan pada 14 Oct 2017 11:18PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Othman Mustapha akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya. – Gambar fail EPA, 14 Oktober, 2017.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memohon untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya, Zamihan Mat Zain yang didakwa menghina institusi diraja.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini, Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharon akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya.

“Jakim amat menyanjung tinggi atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim berkaitan dengan Jakim pada hari ini.

“Justeru, saya selaku ketua pengarah Jakim dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkaitan isu Zamihan Mat Zain pegawai kader Jakim di Penjara Kajang yang menyampaikan ceramah menyentuh tentang dobi mesra Muslim seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataannya.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan Sultan Johor yang melarang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) berurusan dengan Jakim ketika Majlis Konvokesyen ke-17 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia hari ini.

Baginda juga berkata, Jakim tidak dialu-alukan untuk menasihati Johor dalam hal ehwal agama Islam kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ia susulan kemurkaan baginda terhadap pegawai Jakim, Zamihan yang dalam ceramahnya pada Ahad lalu mengkritik larangan Sultan Johor mengenai larangan dobi untuk orang Islam.

"Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

"Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

"Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak," katanya.

Jakim pada Rabu mengesahkan Zamihan adalah seorang pegawai di jabatannya tetapi dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk ditempatkan di Jabatan Penjara. – 14 Oktober, 2017.

Saturday, October 14, 2017

Kempen PRU14: Kebanyakan bekas MB Selangor akan terpalit?

'Kami akan dedah kelemahan Khalid Ibrahim'
Kow Gah Chie   -    Hari ini, 11:40 tengahari
Ikhtiar BN Selangor dalam memikat empat orang bekas menteri besar, khususnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk merebut kembali negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang boleh menjadi 'serampang dua mata'.
Demikianlah Exco kanan kerajaan negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim memberi amaran kepada Khalid yang bakal mengumumkan kedudukan beliau dalam PRU14 pada Ahad ini.

Meski pun BN Selangor akan menggunakan Khalid untuk kelebihan mereka dengan membidas pentadbiran kerajaan negeri, kata beliau, mereka juga tahu kelemahan peribadi dan urus tadbir semasa era Khalid dan tidak keberatan untuk mendedahkannya.

"Kami tahu kelemahan beliau juga," Teng memberitahu Malaysiakini.

Beliau berkata Khalid dan menteri besar sebelum beliau Tan Sri Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tidak melepaskan jawatan mereka dalam 'keadaan yang baik'.
"Tapi, jika beliau memilih untuk berada di pihak yang satu lagi, kami akan dedahkan kelemahan beliau. Kami terpaksa membersihkan keadaan kacau-bilau yang disebabkan beliau," katanya.

"Oleh kerana beliau membina imejnya dengan baik (semasa pentadbiran beliau) kami akan mendedahkannya," kata beliau apabila ditanya Khalid digemari oleh rakyat Selangor.

'Bantuan Khalid kepada BN'

Khalid digugurkan berikutan 'langkah Kajang', suatu muslihat politik untuk menggantikan beliau dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pilihan raya kecil.

Tindakan yang sama akan diambil terhadap tiga bekas menteri besar, ikrar Teng yang juga ahli dewan undangan negeri Sungai Pinang.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini, bekas menteri besar Abu Hassan Omar mendakwa BN akan menerima bantuan daripada Khalid.

Manakala itu, setiausaha Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata menteri besar tersebut boleh menunjukkan kelemahan dalam pentadbiran negeri.

"Mat Taib beritahu banyak yang dia kecewa, contoh, pembangunan asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan, orang bagi tau dah tutup," kata Johan.

Dengan bantuan menteri besar keempat itu, kata beliau mungkin Khalid boleh bercakap bagaimana PKR berpolitik semasa 'Langkah Kajang' dan bukan memikirkan dasar yang bermanfaat kepada rakyat.

Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) Zuraida Kamaruddin berkata Khalid tidak memiliki nilai tambah atau daya penarik.

"Beliau juga tiada akar umbi," katanya.

'ALLAH' dan 'Ali' pada persalinan tamadun Viking?

Sulaman ALLAH ditemui pada persalinan tamadun Viking?
SH  -  13 OKTOBER 2017
Salah satu serpihan yang disulam benang perak dan sutera ditemui di lokasi arkeologi Birka dan Gamla Uppsala, Sweden

STOCKHOLM - SWEDEN. Penyelidik di Sweden menjumpai perkataan arab disulam pada beberapa persalinan pengebumian yang diambil dari kubur berupa bot dari tamadun Viking.

Penemuan tersebut menimbulkan beberapa persoalan baharu, terutamanya mengenai pengaruh dan peranan agama Islam di Scandinavia.

Menurut BBC, hasil laporan wartawan Tharik Hussain cuba menyingkap rahsia persalinan tersebut yang tersimpan lebih 100 tahun, malah ia bukannya persalinan pengebumian biasa.

Kubur-kubur berkenaan yang kesemuanya dari abad ke-9 dan ke-10, mempunyai bukti mendalam mengenai kaitan antara tamadun Viking dan dunia Islam.

Perkataan 'ALLAH' adalah antara perkataan yang disulam dengan benang perak dan sutera pada persalinan-persalinan berkenaan.

Penemuan tersebut dipelopori ahli arkeologi, Annika Larsson dari Universiti Uppsala ketika memeriksa persalinan pengebumian untuk bot lelaki dan wanita, termasuk makam yang mula-mula dikorek di Birka dan Gamla Upsala lewat abad ke-19 dan ke-20.

Annika tertarik dengan persalinan berkenaan selepas mendapati bahan digunakan, sah berasal dari Asia Tengah, Persia dan China.

"Saya tak pasti ketika mula-mula ternampak corak tersebut, kemudian teringat melihat corak berkenaan di Sepanyol, pada kain Moorish," kata Annika.

Penemuan penuh teka-teki

Annika kemudian sedar bahawa beliau bukan melihat pada corak yang mempunyai pengaruh Viking, tetapi ia mempunyai unsur skrip Arabik Kufic kuno.

Disamping itu, terdapat dua perkataan yang asyik berulang. Salah satunya adalah 'Ali' selepas mendapat pertolongan rakan arkeologi dari Iran.

Perkataan kedua pula lebih rumit untuk ditaksirkan, tetapi selepas diperiksa dari semua sisi, barulah Annika sedar.

"Saya ternampak perkataan 'ALLAH' tertulis dengan cara pantulan cermin (terbalik)'," kata Annika.
Perkataan 'ALLAH' hanya boleh dilihat melalui pantulan cermin

Annika kemudian menemui nama-nama tersebut berulang sekurang-kurangnya 10 kali pada 100 serpihan artifak yang beliau periksa.

Penemuan tersebut menyebabkan soalan baharu timbul; siapakah gerangan individu yang dikebumikan?

Pengebumian individu misteri

"Kemungkinan yang tertanam dalam kubur tersebut adalah seorang Muslim tidak boleh ditolak," kata Annika.

"Kita tahu dari makam Viking yang lain, analisis DNA menunjukkan beberapa individu yang dikebumikan datang dari Persia, lokasi di mana agama Islam adalah dominan.

"Namun begitu, (tidak mustahil) penemuan ini membuktikan tradisi pengebumian semasa era Viking dipengaruhi oleh idea Islam seperti kehidupan kekal di syurga selepas mati," jelas Annika.

Pasukan Annika kini bekerjasama dengan jabatan immunologi, genetik dan pathologi dari universitinya untuk mengesan asal-usul mayat yang memakai persalinan tersebut.

Terbaru dalam sejarah

Pada Annika, penemuannya menjadikan sesuatu yang pasti pada masa hadapan.

"Sekarang saya mula memandang corak Viking dengan pandangan berbeza. Saya yakin saya akan menemui lebih banyak tulisan Islamik dari penemuan ini, dan kain era Viking yang lain.

"Siapa tahu, mungkin ia juga akan muncul di artifak selain daripada kain?" kata Annika.