Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, December 8, 2016

Mahkamah Tinggi beri hak Orang Asli buat tuntutan tanah adat dan kekal keputusan bebas 3 Orang Asli

Mahkamah Tinggi Kota Bharu beri hak Orang Asli buat tuntutan tanah adat
07 Disember 2016 | ZIKRI ABDULLAH
Sekumpulan Orang Asli berkumpul di hadapan bangunan Mahkamah Kota Bharu untuk pendengaran kes hari ini.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan Orang Asli bagi membolehkan mereka menuntut hak ke atas kawasan kediaman dan kawasan rayau (tanah adat).
Hakim Datuk Ahmad bin Bache membuat keputusan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang bersidang pagi tadi.
Empat plaintif Orang Asli terdiri dari Kamal a/l Alek, Mazlan bin Alwi, Zamri a/l Talib dan Aja bin Along dari Pos Dakoh atau Pos Balar mendapat kebenaran itu di perbicaraan dalam kamar pada jam 11 pagi tadi.
Zamri TalibZamri TalibZamri yang ditemui selepas perbicaraan itu berkata beliau bersyukur kerana setelah begitu lama berjuang bagi mendapat hak untuk Orang Asli, hari ini satu keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjadi kenyataan.
"Selama ini Orang Asli seolah-olah tidak ada sebarang hak ke atas tempat kami tinggal dan kawasan kami mencari rezeki.
"Sesiapapun yang masuk ke hutan atau membuat sebarang aktiviti di sekitar kami tidak langsung menghiraukan kehidupan kami," katanya.
Sama ada pihak kerajaan atau bukan kerajaan katanya langsung tidak bertanya khabar apa lagi berunding dengan penduduk Orang Asli apabila mereka membuat aktiviti di hutan.
"Apa yang amat perit kepada kami Orang Asli apabila hutan berhampiran kami tinggal dijalankan aktiviti pembalakan dan pertanian secara besar-besaran.
"Sehingga ada berlaku tempat kubur datuk nenek kami turut diceroboh dan tempat kami bercucuk tanam turut digondol," katanya.
Menurutnya penerokaan hutan lebih teruk apabila mengganggu alam sekitar.
"Sungai sekarang tidak lagi bersih seperti dulu.
"Bila hujan lebat air bertukar menjadi keruh dan kami menghadapi masalah untuk mendapat sumber air bersih," katanya.
Paling perit katanya, apabila berlaku banjir besar tahun 2014 di mana kampung-kampung orang asli turut dinaiki air.
"Sisa-sisa kayu balak merempuh rumah kami dan ranting-ranting kayu merosakkan peralatan-peralatan kami," katanya.

Dakwaan merusuh di Lojing: Mahkamah Tinggi kekal keputusan bebas 3 Orang Asli
07 Disember 2016 | ZIKRI ABDULLAH
Anes Akai melahirkan rasa gembira selepas Mahkamah Tinggi kekalkan keputusan Mahkamah Majistret hari ini.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan tiga Orang Asli yang dituduh merusuh di kawasan pertanian Lojing.

Anes bin Akai, Itam bin Anjam dan Rahman bin Uda telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 15 Disember 2015 tahun lalu, bagaimanapun pihak pendakwa raya membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi supaya keputusan tersebut dipertimbangkan semula.

Anes yang mewakili kumpulan Orang Asli itu berkata beliau dan rakan-rakannya bersyukur atas keputusan itu dan berharap pihak pendakwa tidak memanjangkan kes ini.

"Kami amat sukacita kerana hakim yang mengendalikan perbicaraan hari ini Datuk Ahmad bin Bache begitu teliti menilai kes kami.

"Beliau menegur pihak pendakwa yang membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sedangkan butiran penghakiman majistret merekodkan bukti-bukti yang begitu jelas dan rasional," katanya.

Malah lebih menarik beliau turut menegur cara penyiasatan yang dilakukan oleh pihak polis yang disifatkan beliau "ada sesuatu yang tidak kena".

Menceritakan semula peristiwa yang berlaku hampir setahunlalu, beliau berkata, dia bersama enam orang kawan-kawannya melalui kawasan yang sedang dibersihkan untuk penanaman sayur di Lojing.

"Tiba-tiba kami dimarahi oleh sekumpulan pekerja yang mendakwa Orang Asli tidak boleh lalu di kawasan berkenaan.

"Kami meneruskan perjalanan kerana tidak ada pilihan untuk balik ke kampung kami, malangnya kami diserang oleh mereka menggunakan kayu dan saya sendiri berdarah di kepala dan tidak sedarkan diri," katanya.

Bernasib baik katanya mereka dibantu oleh sekumpulan orang lain untuk dibawa ke hospital.

"Apa yang mengejutkan tiba-tiba polis datang menyiasat kami dan menuduh kami merusuh dan cuba mencederakan pekerja-pekerja ladang sayur, sedangkan kami ketika itu tidak ada sebarang senjata sama ada kayu atau pisau atau sumpit," katanya.

Menurutnya, Orang Asli kalau mereka hendak bergaduh mereka akan bawa senjata dan tidak pergi dengan tangan kosong.

Sebagai rekod dalam satu kejadian 26 Februari 2014, 6 Orang Asli Temiar dari Kampung Tahu di Lojing, Kelantan telah diserang oleh sekumpulan besar pekerja asing Myanmar (antara 40 hingga 100 orang pekerja asing) ketika dalam perjalanan ke mesyuarat kampung.

Akibatnya, dua Orang Asli Temiar telah cedera teruk dan memerlukan rawatan di hospital dengan 7 jahitan (Itam bin Ajang) dan 15 jahitan (Rahman bin Uda) masing-masing. 
Motosikal yang dimiliki oleh seorang lagi (Anes bin Akai) sengaja dirosakkan oleh jentolak selepas ditinggalkannya ketika melarikan diri.

Mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Gua Musang dan membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan bantuan peguam dari Majlis Peguam pada 5 Mac 2014.

Pada 9 Mac 2014, tiga daripada enam Orang Asli tersebut telah ditahan di Balai Polis Gua Musang untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas dakwaan ‘memiliki senjata semasa rusuhan.’

Mereka yang ditahan ialah Itam Anjang, Rahman Uda dan Anis Akai yang menjadi mangsa serangan pada 26 Februari.


Pada 11 Mac 2014, ketiga-tiga Orang Asli Temiar telah didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang di bawah Seksyen 148 di mana mereka menuntut perbicaraan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa