Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, December 8, 2016

Umno, Pas tubuh kerajaan campuran

UMNO dan Pas kemungkinan besar akan berkongsi kuasa politik dengan menubuhkan kerajaan campuran sekiranya BN terus mempertahankan pemerintahan pada PRU14.

"MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti komponen BN akan terus kekal bersama, tetapi parti-parti ini akan terpinggir dalam arus perdana politik negara.

Demikian ramalan dibuat bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek kepada Sin Chew Jit Poh ketika mengulas mengenai hubungan yang semakin rapat antara pemimpin Umno dan Pas sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, selepas Umno bekerjasama dengan Pas, dasar negara akan lebih Islamik dan Umno akan terus memperkukuhkan kedudukannya dengan mengutamakan kepentingan kaum Melayu.

"Umno dan Pas sudah jelas akan terus bekerjasama dan bersatu hati dalam isu perpaduan umat Islam. Kedua-dua parti ini juga diramalkan akan bekerjasama dan mencapai kata sepakat dalam pengagihan kerusi dalam PRU. Mereka akan berkongsi kerusi ataupun mungkin sengaja mencetuskan pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan.

"Bagaimanapun, Pas tidak mungkin akan menyertai BN memandangkan penyertaannya ke dalam BN mesti mendapat persetujuan daripada 13 parti komponen BN terlebih dulu," kata bekas presiden MCA itu lagi.

Menurut beliau, jika Umno dan Pas berganding bahu menghadapi PRU14, mereka pastinya akan mempunyai laluan mudah untuk menerajui kerajaan negeri di lima negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang dan Kedah.

"Kelima-lima negeri pula mempunyai 54 kerusi parlimen dan dijangka Umno serta Pas akan menang 48 hingga 50 kerusi daripadanya. Selain itu, di Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi parlimen.

"Sekiranya Umno dan Pas berjaya memenangi 50 daripada 56 kerusi itu, ini bermakna semakin mudahlah Umno untuk mengekalkan kuasa dengan membentuk kerajaan campuran bersama Pas," katanya.

MCA sememangnya parti Cina

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memimpin negara selama 22 tahun, beliau sepatutnya telah sedar bahawa MCA sememangnya adalah sebuah parti dengan kesemua ahlinya terdiri daripada kaum Cina.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, sejak penubuhannya hingga sekarang, MCA adalah parti berasaskan kaum Cina dan MCA tidak perlu berselindung apa-apa.

"Mahathir seperti cuba mengagung-agungkan DAP dan menghina MCA. Beliau sepatutnya sedar parti baharu yang disertainya juga adalah sebuah parti berasaskan satu kaum sahaja?" kata Mei Fun kepada China Press.

Beliau berkata demikian ketika memberikan reaksi terhadap kenyataan Mahathir yang memuji DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan untuk lagu parti dan semasa konvensyen berlangsung.

Kata Mei Fun, MCA faham dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, semua rakyat mestilah saling hormat-menghormati antara satu dengan lain dan MCA bukan sahaja menjaga kepentingan kaum Cina, kaum-kaum lain juga tidak dipinggirkan.

Eksport perabot gagal capai sasaran

Akibat menghadapi masalah kekurangan warga pekerja asing, industri perabot di Malaysia  mengalami kerugian serius menyebabkan sasaran untuk mencapai jualan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini gagal tercapai.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan kini sedang berusaha mencari jalan segera bagi membantu golongan yang terbabit dalam industri perabot ini.

"Kerajaan melalui Menteri Sumber Manusia baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Bangladesh dalam usaha mendapatkan lebih ramai rakyat negara itu datang bekerja di Malaysia.

"Saya harap dalam tempoh dua minggu akan datang, akan ada lebih ramai pekerja Bangladesh datang untuk bekerja di kilang-kilang perabot yang ada di seluruh negara kita," kata Siew Keong kepada Oriental Daily.

Menurut beliau, walaupun kini terdapat sesetengah kilang yang telah menggunakan kemudahan mesin, namun tenaga kerja daripada pekerja warga asing tetap diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa