Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, January 18, 2017

Kerana kerakusan manusia

Banjir berlaku kerana manusia
ISHAM JALIL - 16 JANUARI 2017
Banjir berlaku kerana manusia Kayu balak yang tersangkut di kawasan sungai.

INI adalah suatu kisah banjir di Kelantan. Kisah bagaimana bencana alam mungkin boleh dikurangkan kesannya oleh manusia tetapi tidak dilakukan, malah diburukkan lagi.

Pada 1990, Pas mengambil alih Kerajaan Kelantan daripada BN. Tiga tahun sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, telah menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan sengit dan pahit untuk jawatan Presiden Umno.

Tengku Razaleigh, yang masih segar dengan luka pertarungan, berjaya membalas dendam pada PRU 1990, apabila beliau dan parti yang baru ditubuhkannya, Semangat 46, membantu Pas untuk mengalahkan BN, seterusnya mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri. Mahathir telah kehilangan Kelantan kepada Pas dan Tengku Razaleigh, dan beliau terkejut dan marah.

Berikutan itu, sepanjang tahun-tahun 1990-an di bawah pentadbiran Mahathir, peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan telah dipotong dengan ketara.

Antara 1991 dan 1995 di bawah Rancangan Malaysia Keenam, hanya kurang daripada satu peratus daripada RM116 bilion perbelanjaan pembangunan persekutuan telah diperuntukkan kepada Kelantan, iaitu peruntukan paling rendah berbanding negeri lain. Amalan ini berterusan sehingga 2003.

Justeru, terdapat hanya sedikit aktiviti pembangunan di Kelantan pada 1990-an. Lebuh raya, jalan raya dan empangan yang telah dirancang dan sepatutnya dibina dibatalkan.

Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Kelantan telah terbantut, dan peluang pekerjaan terhad. Kesannya, telah berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk tempatan keluar dari Kelantan dalam tempoh ini.

Beratus ribu rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar mencari pekerjaan. Kini, dianggarkan setiap satu daripada tiga orang, daripada 1.5 juta rakyat Kelantan tinggal dan bekerja di luar negeri tersebut.

Jika Mahathir bertujuan menghukum Pas dan Tengku Razaleigh, rakyat Kelantanlah sebenarnya yang telah menjadi mangsa.

Kekurangan pertumbuhan ekonomi berikutan bantuan kewangan terhad menyebabkan Kelantan dan pemimpinnya berusaha mencari jalan menyelamatkan keadaan. Dan, mereka guna cara paling mudah dan paling cepat untuk jana pendapatan dan kurangkan beban kewangan kerajaan negeri iaitu dengan pembalakan.

Sejak 90-an, aktiviti pembalakan di Kelantan telah berleluasa. Di atas kertas, hanya kawasan hutan yang kecil sahaja diluluskan untuk pembalakan di negeri ini. Namun, Jabatan Perhutanan telah menganggarkan kebelakangan ini lebih 45,000 hektar kawasan hutan di Kelantan telah dibersihkan dan dibalak, iaitu kawasan hampir sebesar dua kali ganda luas Kuala Lumpur.

Kawasan hutan yang telah dibersihkan di Kelantan baru-baru ini, lebih banyak berbanding di negeri lain. Dan aktiviti ini kebanyakannya telah dilakukan secara sah mengikut undang-undang.

Bagaimanakah mereka melakukannya?

Di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, bagi aktiviti pembalakan, adalah wajib pokok yang akan dibalak ditanda dan dikatalog.

Dan pokok ini perlu ditebang tanpa meratakan atau membersihkan hutan secara total. Bagaimanapun, keperluan undang-undang ini menjadi penghalang kepada pembalak dari segi masa, kos, tenaga dan bilangan pokok yang boleh ditebang.

Adalah lebih mudah dan lebih cepat bagi pembalak meratakan atau membersihkan seluruh kawasan hutan tersebut dan mengeluarkan kayu balak.

Untuk melakukan hal ini secara sah dan memintas undang-undang di bawah Akta Perhutanan tersebut, kerajaan negeri boleh menggunakan kuasanya yang diperuntukkan dalam Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan kerajaan negeri keutamaan bidang kuasa ke atas hal ehwal tanah termasuk hutan. Maka itulah yang telah dilakukan kerajaan negeri.

Lesen pembalakan di bawah Akta Perhutanan Negara dikeluarkan hanya kira-kira 2,000 hektar setiap tahun oleh Kerajaan Kelantan. Namun, pada akhir 1990-an, kerajaan negeri mengklasifikasi semula sebahagian besar hutan simpan sebagai 'ladang hutan'.

Di bawah klasifikasi ini, hutan boleh sama sekali diratakan atau dibersihkan tanpa keperluan pemantauan pokok seperti penandaan balak yang diwajibkan di bawah Akta Perhutanan.

Kawasan 'ladang hutan' ini pada awalnya untuk pembangunan kawasan pertanian seperti kelapa sawit dan getah, dan ia sepatutnya dilaksanakan ke atas 'hutan miskin' yang merupakan hutan berkepadatan rendah dengan pokok bersaiz kecil dan sederhana. Tetapi 'hutan miskin' ini masih boleh mengeluarkan hasil sangat lumayan iaitu sekitar 40 tan kayu balak sehektar.

Sehingga kini, 199,000 hektar hutan di Kelantan diklasifikasikan dan diluluskan sebagai ladang hutan, iaitu kawasan kira-kira tiga kali ganda luas Singapura.

Kawasan ini lebih kurang satu pertiga daripada jumlah kawasan hutan simpan kekal Kelantan. Ia adalah ladang hutan terbesar di Semenanjung Malaysia, lebih besar daripada jumlah semua gabungan ladang hutan di negeri lain di Semenanjung.

Terdapat aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan di Pahang juga, iaitu negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, aktiviti pembersihan hutan di Pahang tidak setanding dan jauh ketinggalan berbanding dengan apa yang berlaku di Kelantan pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Pahang, dengan hutan simpan kekal terbesar di semenanjung, hanya mengklasifikasikan lima peratus daripada jumlah rizab hutannya atau 80,447 hektar sebagai ladang hutan, berbanding Kelantan iaitu kira-kira dua setengah kali ganda lebih besar.

Pengklasifikasian hutan simpan yang luas sebagai ladang hutan ini telah memburukkan lagi aktiviti pembersihan hutan di Kelantan pada kadar membimbangkan.

Mengikut anggaran seorang bekas Exco kerajaan negeri Pas Kelantan dalam satu temu bual yang diterbitkan baru-baru ini, beliau berkata 200,000 hektar tanah hutan telah dibersihkan di bawah perladangan hutan di Kelantan sejak 15 tahun lalu.

Kawasan ladang hutan yang ditebas sepatutnya ditanam semula. Namun,  ini tidak berlaku dalam kebanyakan kes di Kelantan.

Menurut Jabatan Perhutanan, setakat ini, hanya kira-kira 10,000 hektar ladang hutan telah ditebas dan dibalak ditanam semula, iaitu hanya lima peratus daripada 200,000 hektar hutan yang dianggarkan telah ditebas di Kelantan.

Walaupun dengan adanya kuota tahunan bagi pembersihan ladang hutan, kadar penanaman semula hutan ditebas adalah kecil dan tidak setimpal dengan kadar hutan yang ditebas. Ini menyebabkan berpuluh ribu hektar tanah hutan kini botak atau terdedah di Kelantan.

Kerajaan negeri terus menyalahkan Jabatan Perhutanan kerana kononnya kurang tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti-aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan.

Tetapi sejauh manakah jabatan ini boleh bertindak menguatkuasakan undang-undang apabila aktiviti pembersihan hutan yang berleluasa ini dilakukan secara sah di bawah undang-undang negeri dan dipersetujui oleh kerajaan negeri?

Siri 2: Bukti dan petunjuk yang mengaitkan pembersihan hutan dan banjir yang semakin teruk

Ini masa manusia tebus silap
ISHAM JALIL - 17 JANUARI 2017
KERAJAAN Negeri Kelantan masih lagi menafikan bahawa aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan telah menyebabkan atau memburukkan lagi banjir, walaupun selepas banjir besar 2014, yang merupakan banjir terburuk yang pernah berlaku di negara ini dalam hampir setengah abad.

Pihak berkuasa negeri menyatakan bahawa aktiviti pembalakan tidak menyebabkan banjir tetapi ianya telah disebabkan oleh hujan lebat; dan bahawa air bah banjir tidak datang dari kawasan pembalakan, tetapi dari Taman Negara yang berdekatan. Walau bagaimanapun, alasan retorik tidak akan menyelesaikan masalah ini, ia juga tidak akan meringankan penderitaan rakyat Kelantan yang dilanda banjir setiap tahun.

Walaupun penafian dibuat oleh pihak berkuasa negeri seperti di atas, ramai pakar dari pelbagai bidang termasuk kaji cuaca, perhutanan, dan pembangunan mampan telah mengemukakan bukti yang mengaitkan pembersihan hutan dengan banjir yang semakin teruk di Kelantan: seperti deposit aluvium yang dilihat terbentuk di sejauh 1,000 meter dari tebing sungai selepas banjir, pembentukan berekar-ekar beting pasir di Sungai Kelantan akibat hakisan tanah di hulu, dan imej-imej satelit yang banyak yang menunjukkan hakisan tanah di kawasan-kawasan pembersihan hutan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa pembalakan atau pembersihan hutan adalah salah satu punca utama banjir besar. Ini terbukti dengan banjir di Bangladesh pada tahun 1998, Haiti pada tahun 2004, Mexico pada tahun 2007 dan di negara-negara lain dalam sejarah.

Mengikut pakar, tanah yang terhakis dari kawasan hutan yang ditebas masuk ke dalam sungai berdekatan menyebabkan kelodak dan pencetekan dasar sungai dan seterusnya menyebabkan banjir yang semakin teruk. Adalah dianggarkan bahawa jumlah kehilangan tanah dari hakisan di kawasan hutan yang ditebas di Kelantan sejak dua dekad yang lalu adalah lebih daripada 500 juta meter padu.

Jumlah ini cukup untuk mencetekkan dasar sungai bagi keseluruhan 517 km panjang bagi ketiga-tiga sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Kelantan, Sungai Lebir dan Sungai Galas, dengan sekurang-kurangnya 5 kaki kelodak dan sedimen.

Pakar juga berpendapat bahawa pembersihan hutan secara besar-besaran boleh meningkatkan kadar hujan dan menyebabkan banjir. Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mapan, Malaysia, pembukaan tanah atau pembersihan hutan secara besar-besaran memberi kesan kepada kitaran hidrologi hujan lalu menyebabkan peningkatan kadar hujan yang luar biasa.

Ini menjelaskan mengapa semasa banjir besar 2014, empat puluh peratus daripada jumlah hujan tahunan telah turun dalam tempoh 10 hari di Kelantan yang juga berkait dengan puluhan ribu hektar hutan yang ditebas pada tahun-tahun kebelakangan sebelum banjir tersebut.

Juga, adalah mustahil untuk air bah hanya datang dari Taman Negara seperti yang dinyatakan oleh pihak berkuasa negeri; tetapi sebaliknya air bah tersebut datang dari seluruh kawasan tanah tinggi Kelantan termasuk dari ladang-ladang hutan yang telah ditebas serta kawasan yang berdekatan dengannya seperti yang direkodkan di stesen-stesen hujan di seluruh Kelantan.

Pada tahun 1989, Thailand telah mengeluarkan pengharaman pembalakan selepas berlakunya banjir yang terburuk di negara tersebut dalam hampir satu abad. Pada tahun 1998, China mengharamkan pembalakan selepas banjir di Sungai Yangtze membunuh lebih daripada tiga ribu orang. Pada tahun 2011, Filipina mengharamkan pembalakan selepas tujuh puluh orang mati berikutan banjir besar yang disebabkan oleh hujan lebat yang luar biasa. Mungkin cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada Selasa lalu supaya Kerajaan mengharamkan pembalakan selama sepuluh tahun untuk menangani masalah banjir adalah tidak keterlaluan dan munasabah pada pandangan rakyat  untuk kebaikan mereka.

Selepas banjir besar 2014 di Kelantan, aktiviti pembersihan hutan sepatutnya dihentikan. Tetapi tidak. Malah, aktiviti pembersihan hutan di kawasan ladang hutan terus dijalankan selepas 2014 di Kelantan. Jika ini berterusan dan aktiviti pembersihan hutan semakin berleluasa, banjir di Kelantan berkemungkinan besar akan menjadi lebih teruk pada tahun-tahun akan datang.

Banjir besar mungkin tidak akan berlaku pada setiap tahun, tetapi ianya mungkin berlaku lebih awal dari yang kita sangka dan lebih kerap dari yang kita mahu. Pembersihan hutan secara besar-besaran di kawasan ladang hutan mungkin akan membuka “pintu bah Kelantan” yang menyebabkan banjir yang besar tiada empangan atau benteng sedia ada di Kelantan yang boleh membendungnya.

Semasa dua banjir di Kelantan pada tahun-tahun kebelakangan ini, beratus-ratus ribu orang mangsa telah dipindahkan, dan beribu-ribu rumah telah musnah, serta berbilion-bilion ringgit kerosakan harta benda telah berlaku. Mangsa-mangsa banjir terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua menderita dalam keadaan sejuk dan basah dalam zon banjir. Melihat kepada hal ini, mungkin hasil yang diperoleh daripada pembalakan adalah tidak berbaloi.

Masalah yang lepas usah dikenang

Kita belajar dari sejarah, namun kita mesti bergerak ke hadapan. Justeru, apa yang kita perlu lakukan sekarang? Menurut pakar, sekurang-kurangnya tiga perkara perlu dilakukan: Pertama, aktiviti pembersihan hutan perlu dihentikan atau sekurang-kurangnya dikawal; pembalakan, jika tidak dapat diharamkan, mesti dilakukan dengan cara yang mampan. Kedua, infrastruktur pembendungan air perlu dibina di hulu lembangan sungai untuk menampung air semasa hujan lebat dan musim tengkujuh. Dan ketiga, projek pembuangan kelodak dan mendalamkan sungai yang sedang dijalankan di hilir perlu terus dilakukan dengan agresif.

Adalah penting bahawa usaha-usaha disasarkan di kedua-dua peringkat kawasan lembangan sungai-sungai Kelantan iaitu di hulu mahu pun di hilir. Usaha di hilir seperti projek pembuangan kelodak di delta Sungai Kelantan yang sedang berjalan sekarang tidak akan berkesan tanpa kerja-kerja dilakukan di hulu kerana jika tidak kelodak dan tanah akan terus turun ke hiliran dan terus mencetekkan sungai.

Usaha tebatan banjir memerlukan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk bekerja rapat bersama-sama untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan negeri tidak mempunyai sumber yang besar seperti Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hal ehwal tanah seperti kerajaan negeri.

Tetapi kedua-duanya boleh melengkapi antara satu sama lain dengan matlamat yang sama untuk membantu rakyat Kelantan. Dan kini, tidak seperti pentadbiran Persekutuan dalam era 90-an, pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak memberikan sokongan untuk pembangunan dan kebaikan negeri Kelantan serta telah memperuntukkan lebih daripada RM30 bilion untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan serta bantuan kewangan dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Oleh itu, jika Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan ingin bekerjasama, inilah masa yang sesuai dan platform yang baik untuk berbuat demikian, dengan melupakan kepentingan politik untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat Kelantan. Manusia mungkin telah membuat keadaan banjir menjadi lebih teruk sebelum ini, tetapi manusia juga boleh menjadikannya lebih baik kini dan untuk masa akan datang. Seperti pepatah lama, “Buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi. 

Dan dalam Al-Quran, “Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa” -Al-Maidah, ayat 2.

Penulis telah berpengalaman mengharungi banjir di Kelantan sejak tahun 70-an. Beliau adalah presiden Sukarelawan Malaysia yang telah membantu mangsa banjir di Kelantan dalam beberapa tahun ini termasuk usaha sukarela membina semula banyak rumah yang musnah akibat banjir. Beliau mempunyai kelulusan ijazah sarjana dasar awam dalam bidang politik, ekonomi dan undang-undang dari Universiti Harvard

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa