Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, September 2, 2017

Nurul Huda: Selepas lama menghilang, muncul di upacara pembukaan Sukan SEA 2017

Nurul Huda sedia tabur bakti selepas 27 tahun menyepi
Astro Arena |  Diterbitkan pada September 01, 2017 23:30 MYT
NURUL HUDA: Ia sesuatu yang istimewa dan penghormatan

LEGENDA tidak pernah hilang, hanya menyepi buat sementara waktu, tetapi 27 tahun adalah waktu yang terlalu panjang untuk seorang ikon menghilangkan diri daripada kancah sukan tanah air.

Selepas sekian lama, legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah, berkongsi apa yang terbuku di hatinya menerusi bicara eksklusif bersama Nadi Arena.

Dalam Sukan SEA edisi 1989 di Kuala Lumpur, Nurul Huda mencetuskan sensasi apabila mengaut lapan pingat emas dan satu perak untuk menjulang namanya sebagai antara atlet terhebat sepanjang zaman dalam saingan di kolam renang.

Dengan himpunan 22 emas Sukan SEA bermula edisi ke-13 di Bangkok, Thailand, Nurul pada usia 18 tahun mengucapkan selamat tinggal kepada arena sukan Malaysia.

Fenomena pengundurannya begitu terasa sehinggalah hari ini.

"Menjadi perenang kompetitif menuntut pengorbanan besar. Saya berlatih selama tujuh jam sehari, termasuk sesi persekolahan.

"Saya bersekolah menengah pada ketika itu dan perlu bangun pagi untuk menjalani latihan sebelum ke sekolah. Sebaik kelas saya berakhir, saya terus ke kolam renang untuk berlatih.

"Jadi, saya terlepas banyak perkara yang remaja ketika itu lazimnya lakukan.

"Sebaik bersara, saya mahu menjalani kehidupan dengan menamatkan pengajian di Australia. Kemudian saya mula bekerja lalu berkahwin dan mendapat dua orang anak.

"Ini semua adalah perkara besar dalam kehidupan saya dan ia tidak dapat dilakukan ketika saya bergelar atlet.

"Saya bersyukur mendapat peluang dalam kehidupan," katanya.

Rindu Malaysia kepada Nurul Huda sukar dijelaskan dalam bentuk perkataan, hanya emosi mampu menggambarkan betapa penampilannya sepanjang Sukan SEA Ke-29 kekal sebagai sesuatu yang istimewa.

Antara cerita menakjubkan dalam temasya KL2017 adalah kelibat seorang atlet veteran, ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, yang kini hanya kurang tiga emas untuk mengatasi pencapaian Nurul Huda.

"Saya amat terkejut dihubungi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan diminta untuk membawa bendera dalam upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya bersetuju kerana bagi saya, ia sesuatu yang istimewa dan penghormatan.

"Pada awalnya, saya bersikap biasa sahaja sehinggalah saya berada dalam kalangan atlet ikonik semasa latihan upacara pembukaan. Kemudian barulah saya sedar peranan yang akan saya mainkan.

"Ketika bergelar atlet, saya tidak pernah berpeluang untuk menghadiri upacara pembukaan kerana acara saya akan bermula keesokan harinya.

"Saya sangat bangga dapat tampil dalam upacara pembukaan, ia pengalaman yang harus ditempuhi bagi seseorang atlet.

"Saya harap Shalin meneruskan usahanya dan mengatasi pencapaian saya," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, aneh apabila memikirkan impak pencapaian Nurul belum memadai untuk menyuntik skuad renang negara untuk meneruskan legasinya.

Pedih untuk Malaysia mengakui bahawa Singapura menerusi Joseph Schooling sudah menggenggam emas Sukan Olimpik.

Dalam masa sama, sukan terjun sudah meletakkan renang dalam bayangan sebagai pendukung harapan Malaysia di pentas akuatik dunia.

Terbukti, peranan Nurul Huda dalam temasya KL2017 menyentuh hatinya untuk kembali menabur bakti bersama Malaysia.

Walau sekecil mana pun ilmu yang akan diturunkan, sudah pasti bintang generasi hari ini seperti Welson Sim dan Phee Jinq En akan menikmati hasilnya.

"Saya sedia mempertimbangkannya dan berharap pada suatu hari nanti berkesempatan untuk melihat perenang Malaysia dapat bertanding dalam temasya besar seperti Sukan Asia dan Olimpik secara konsisten."

Malaysia akan sentiasa mengenang Nurul Huda sebagai seorang legenda.

Bagaimanapun, dalam bicaranya, dia hanya mahu dikenang sebagai seorang atlet yang mahu Malaysia dipandang tinggi di mata dunia.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa