Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 1, 2017

Pandangan yang menggembirakan PAS dan UMNO/BN

BN boleh rampas kembali dua pertiga, kata pemerhati
Amin Iskandar
Diterbitkan pada 31 Aug 2017 2:00PM 
Jumlah penyokong tegar Barisan Nasional yang besar akan menyebabkan undi pembangkang berpecah kepada dua antara PAS dan Pakatan Harapan, sekali gus memungkinkan ia menang walaupun dengan undi popular lebih rendah. – Gambar fail EPA, 31 Ogos, 2017.

PELUANG Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga lebih cerah dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) menolak sebarang kerjasama pilihan raya dengan PAS, kata pemerhati politik Ibrahim Suffian.

Tanpa pakatan antara PH dan PAS untuk memastikan berlakunya pertembungan satu lawan satu, ia memudahkan parti pemerintah mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen yang ia hilang sejak pilihan raya 2008, kata pengarah Merdeka Centre itu.

“Memandangkan BN mempunyai jumlah sokongan tegar yang agak besar, undi pembangkang akan terpecah kepada penyokong PAS dan penyokong PH.

“Ini akan menyebabkan BN menang di kerusi-kerusi ini walaupun dengan undi popular lebih rendah," katanya.

Menurut beliau, pertembungan tiga penjuru antara PH, PAS dan BN akan memperlihatkan cerminan keputusan seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016 yang menyaksikan BN menang di kedua-dua kerusi.

“Jika PH dan PAS gagal mencapai persetujuan untuk mengadakan pakatan pilihan raya, tidak mustahil BN merampas kembali majoriti dua pertiga memandangkan mereka hanya memerlukan tambahan 15 kerusi Parlimen daripada kerusi sedia ada,” katanya memberitahu The Malaysian Insight.

Untuk menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen, BN perlu memenangi 148 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada PRU13, BN gagal merampas kembali majoriti dua pertiga apabila mendapat 133 kerusi di Dewan Rakyat berbanding pembangkang yang mendapat 89.

Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai PAS pada ketika itu bagaimanapun mendapat 51% undi popular berbanding BN yang hanya mendapat 47%.  

Tiada kerjasama dengan PH bukan jaminan PAS berpakat dengan Umno

Bagaimanapun, ketiadaan kerjasama PH dan PAS bukanlah satu jaminan automatik yang parti Islam itu akan bekerjasama atau membentuk pakatan pilihan raya dengan Umno, kata Ibrahim.

Ibrahim berkata, jika difikirkan secara rasional sekalipun terdapat pakatan sulit antara dua parti Melayu-Islam terbesar Malaysia itu, terlalu sukar untuk menjadikannya kenyataan.

“Untuk mendapatkan PAS berpakat secara sulit dengan Umno, Umno perlu memberikan sesuatu kepada PAS sebagai ganjaran meletakkan calon di kerusi parti pembangkang lain.

“Ini akan menyebabkan kesan berganda. Bayangkanlah pemimpin dan calon Umno di negeri seperti Kelantan, Terengganu atau Kedah perlu menyuruh penyokong setia mereka untuk memberikan laluan kepada PAS. Bolehkah ini berlaku?

“Di pihak PAS pula, sekiranya terdapat pakatan politik bersama Umno, ini akan menambahkan lagi keretakan dalam parti yang berlaku perpecahan sebelum ini sehingga tertubuhnya Amanah,” kata Ibrahim.

Amanah ditubuhkan sekumpulan bekas pemimpin PAS yang diketuai bekas timbalan presiden Mohamad Sabu selepas mendakwa parti Islam itu di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang semakin rapat dengan Umno.

PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

PH pada Selasa mengumumkan untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersiap sedia untuk pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Merdeka Center merupakan badan tinjauan bebas yang sudah berpengalaman melakukan tinjauan mengenai trend pengundian di peringkat nasional sejak 2003.

Menurut Ibrahim selain itu, pada ketika ini BN mungkin sudah sedar kelahiran Amanah dan Bersatu akan memecahkan lagi undi Melayu yang seharusnya pergi kepada PAS sekiranya pembangkang bekerjasama.

“Disebabkan itu, nilai pakatan sulit dengan PAS semakin menurun disebabkan kelahiran parti pembangkang lain akan memecah-mecahkan lagi undi anti kerajaan terhadap BN,” katanya. – 31 Ogos, 2017.

* Ia merupakan anggota Persatuan Penyelidikan Tinjauan Umum Dunia dan sebahagian daripada Asia Barometer Project yang hasil kerjanya disemak oleh agensi setara dari 15 buah negara.

Kaitan: PAS memang rasional

1 comment:

  1. terimakasih atas informasinya dan jangan lupa kunjungi kami
    di http://blackwaletfacialsoap.com/sabun-penghilang-bopeng/

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa