Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, October 2, 2017

Dah mula nak gigit tangan yang memberinya makan?

Siasatan SPRM resahkan Umno, Dzulkifli tidak selamat
Jahabar Sadiq
Diterbitkan pada 2 Oct 2017 7:00AM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mula menerajui suruhanjaya itu pada Ogos 2016 dan setakat ini, aset bernilai RM334 juta berjaya dirampas, dengan 952 kertas siasatan dibuka dan 405 kes dibawa ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2017.

KETUA agensi anti rasuah Dzulkifli Ahmad boleh berbangga dengan pencapaiannya sepanjang setahun pertama menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – rampasan tunai lebih besar, lebih banyak tangkapan dan pendakwaan – tetapi kejayaan itu boleh membuatkannya hilang kerja.

Kesungguhan dan keghairahan Dzulkifli menangkap mereka yang didakwa menerima rasuah atau terlibat dalam penyelewengan terutamanya ahli politik kerajaan semakin kurang disenangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sejak Dzulkifli memegang jawatan pada Ogos 2016, SPRM merampas aset bernilai RM334 juta berbanding RM55 juta pada tahun sebelumnya. SPRM juga membuka 952 kertas siasatan, meningkat 2.94% berbanding tempoh yang sama; membawa 405 kes ke mahkamah (pertambahan 32.83%) dan membuat 910 tangkapan (naik 6%).

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lepas membincangkan beberapa kes dan tangkapan SPRM yang berprofil tinggi sejak beberapa minggu lepas sehinggakan anggotanya yang paling "lembut" pun mendesak tindakan diambil untuk menghentikan penguatkuasaan "agresif" itu.

"Sesetengah anggota Majlis Tertinggi Umno bimbang Dzulkifli memburu ikan bilis dan kes yang tidak berbaloi terutamanya yang melibatkan pegawai mereka," kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

"Mereka mahu tindakan diambil bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada Umno atau BN terutamanya ketika pilihan raya kini tidak sampai setahun lagi," kata sumber itu.

Dzulkifli, yang sebelum ini berkhidmat di Pejabat Peguam Negara, diangkat ke jawatan tertinggi SPRM berkuat kuasa 1 Ogos, 2016. Beliau mengambil alih tempat yang dikosongkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed yang bersara.

Antara kejayaan besar Dzulkifli ialah menangkap pegawai tinggi Jabatan Air Sabah dan merampas wang tunai dan barangan mewah bernilai RM114; menangkap exco kerajaan negeri Johor, Latif Bandi; menangkap pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Isa Samad dan beberapa orang lagi pegawai perkhidmatan awam.

Penangkapan Isa yang kemudiannya ditahan reman selama lima hari berhubung dakwaan penyelewengan dalam Felda Global Ventures Bhd mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Umno serta rasa kurang senang terharap Dzulkifli dan penyiasatan agresif SPRM ke atas kes-kes besar.

Beberapa orang lain turut ditahan termasuk pegawai politik sebuah parti komponen BN di Sarawak.

Keresahan bertambah apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Richard Riot adalah antara lima yang ditahan bagi siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM40 juta dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Difahamkan pemimpin tinggi Pemuda Umno dari Bahagian Bagan Datuk turut ditahan dalam siasatan ke atas PTPK itu. Bahagian Umno itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden Umno menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Minggu lalu juga, Dzulkifli menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low, berhubung idea penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara bagi memantau perilaku pegawai di lima agensi penguatkuasaan termasuk SPRM.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata penubuhan jabatan yang dicadangkan itu akan membazir terutamanya ketika kerajaan memotong bajet pengambilan lebih ramai pegawai bagi beberapa agensi penguatkuasaan.

Perdana Menteri Najib Razak semalam mengumumkan jabatan baharu itu walaupun ada kritikan daripada Dzulkifli, yang kini dilihat sudah melanggar batas apabila mengkritik seorang menteri kabinet.

"Dzulkifli sepatutnya lebih tahu dan bukannya mengkritik seorang menteri tanpa menyemak keadaan yang sebenar. Beliau boleh menyalurkan pandangannya melalui saluran yang betul walaupun beliau rasa tidak bertanggungjawab kepada menteri. Semua orang bertanggungjawab pada seseorang," kata seorang pemimpin Umno itu kepada The Malaysian Insight.

Namun Dzulkifli belum lagi selesai tugasnya dengan SPRM. Beliau semalam menggunakan sambutan ulang tahun ke-50 SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mengatakan mereka perlu menunjukkan imej yang boleh mendatangkan rasa gerun dalam kalangan orang yang korup.

"Dalam hal ini, kami agresif dalam penguatkuasaan dan operasi sama ada dengan tangkapan atau pendakwaan yang dibuat setiap minggu," katanya semalam. – 2 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa