Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 5, 2017

‘Undi Pakatan, undi DAP’: Kempen yang tidak ditelan pengundi Melayu Selangor

* Adakah ugutan ini akan termakan di Pantai Timur dan Kedah, perlis?
Menurut kajian, Melayu Selangor tak termakan kempen ‘undi Pakatan, undi DAP’
Zulkifli Sulong
Diterbitkan pada 5 Oct 2017 7:00AM
Kempen satu undi untuk Pakatan bermakna satu undi untuk DAP yang digunakan Barisan Nasional dan PAS nampaknya masih tidak nampak kesannya. Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad terdiri daripada gabungan empat parti, DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

PENGUNDI Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar Selangor tidak termakan dengan kempen Umno dan PAS kononnya satu undi untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti bermakna satu undi untuk DAP, kata penyelidik yang membuat kajian di lapangan.

Hanya seorang daripada empat pengundi percaya dengan kempen itu, dedah kaji selidik dua pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Kuala Lumpur terhadap sampel pengundi di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Dua kawasan DUN itu ialah Hulu Klang dan Gombak Setia, dalam kawasan Parlimen Gombak yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR.

"Keputusan ini boleh mewakili sentimen politik pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar," kata Dr Latif Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

Responden diminta memberi reaksi kepada kenyataan berikut: "Saya percaya sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya akan datang DAP akan memimpin negara ini."

Pengundi sudah celik

Latif, bekas dekan sebuah fakulti di UTM membuat kajian itu bersama pensyarah kanan universiti itu, Dr Mazlan Ali. Ia susulan naratif kempen dua parti besar orang Melayu, Umno dan PAS sejak beberapa bulan lalu bahawa mengundi PH bermakna memberi undi kepada DAP.

"Kajian ini menunjukkan rakyat Malaysia sekarang sudah ramai yang celik pengetahuan dan tidak mudah dikaburkan oleh kempen yang semacam ini.

"Ini kerana mereka sedar pengundi Cina hanya 23%  sahaja dari penduduk Malaysia dan hanya DAP yang dipimpin oleh orang Cina sedangkan tiga parti lain dalam PH dipimpin oleh orang Melayu," tambah beliau.

Kajian itu menunjukkan hanya 24% daripada 1,943 sampel responden termakan dengan kempen itu. Peratusan jawapan yang mereka perolehi hampir sama untuk kedua-dua kawasan DUN Hulu Klang dan Gombak Setia.

Pembangkang membentuk kerajaan negeri di Selangor sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 setelah PAS, DAP dan PKR menjalin kerjasama politik atas nama Pakatan Rakyat. Pada PRU2008 itu, DAP menang 13 kerusi DUN, PKR 15 dan PAS 8 manakalan Barisan Nasional 20.

Pada PRU2013, PAS — dengan dukungan PKR dan DAP — memperbaiki prestasinya dengan menambah 7 lagi kerusi di DUN Selangor. Keputusan akhir: PAS 15, PKR 14, DAP 15 dan BN 12.

Kerjasama politik itu kemudiannya runtuh selepas PAS berkelahi dengan DAP terutamanya berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Pakatan Rakyat yang terbentuk selepas PRU 2008 bubar dan digantikan dengan PH yang tidak disertai oleh PAS.

PAS memilih jalan sendiri, mengetuai sebuah pakatan baru Gagasan Sejahtera. Menuju pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018, PAS akan ikut sama-sama bersaing dengan BN dan PH di banyak kerusi Parlimen dan DUN termasuk di Selangor.

Kajian oleh dua ahli akademik ini dijalankan secara bersemuka, turun ke lapangan bertemu pengundi, dalam senggang masa sekitar dua bulan antara Mac hingga Mei lalu.

Daripada 1,943 responden yang mereka temui, 996 di Hulu Klang dan 947 di Gombak Setia, hanya 6.1% yang berkata amat setuju, 18.8% berkata setuju. Selebihnya,  31.2% berpendapat kenyataan itu tidak relevan, 23.7% kurang setuju manakala 20.2% tidak setuju.

1 comment:

  1. Oh my goodness! Awesome article dude! Many thanks, However I am encountering issues with your RSS.
    I don't know why I am unable to subscribe to it. Is there
    anyone else having the same RSS issues? Anybody who knows the solution will you kindly respond?
    Thanx!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa