Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, November 12, 2017

Rahman Dahlan tersampuk puaka banjir?

Awak ni kenapa, Rahman Dahlan?
mk   -   8 Nov 2017, 9:22 pm
Menteri yang pernah mengesahkan siapa sebenarnya Malaysian Official 1 (MO1), Datuk Abdul Rahman Dahlan nampaknya semakin degil dalam politiknya.

Tatkala semua pihak masih berdukacita dan simpati dengan tragedi banjir terburuk yang menimpa rakyat Pulau Pinang, Abdul Rahman sempat menulis di akaun Twitternya menempelak individu tertentu.

Abdul Rahman menulis di Twitternya pada 5 November:

"Bila banjir di Kota Belud baru-baru ini, saya tak perlu menangis-nangis untuk minta bantuan tentera. Mereka sentiasa berkhidmat untuk rakyat."
Sindiran tersebut dipercayai merujuk kepada klip video Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sebak dan menyatakan pihaknya telah meminta bantuan angkatan tentera untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Video sebak

Dalam mendepani tragedi banjir yang mengorbankan tujuh mangsa setakat ini, Guan Eng terpaksa memohon bantuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi demi rakyat Pulau Mutiara itu yang berada dalam keadaan sukar lagi berbahaya.
Sindiran Abdul Rahman juga sekali gus 'melanggar' arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu banjir di Pulau Pinang.

Sebaliknya, Najib mahu semua pihak menghulurkan bantuan sedaya mungkin untuk meringankan bebanan mangsa.

Najib menulis di akaun Twitternya pada hari yang sama Abdul Rahman menulis: "Saya mahu semua pihak berhenti politikkan banjir Pulau Pinang, fokus kini bantu rakyat. Semua agensi kerajaan dan jentera parti perlu sama-sama bantu."
Ternyata, pada hari yang sama, Najib mempamerkan jiwa yang cukup besar dengan mengetepikan fahaman politik yang berbeza dengan parti yang menjadi menjadi kerajaan Pulau Pinang hari ini manakala Abdul Rahman pula, sebaliknya.

Antara Kota Belud - P Pinang

Abdul Rahman cuba untuk membandingkan pertolongan anggota tentera di Kota Belud dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Tidakkah beliau nampak perbezaan antara kedua-dua tragedi dengan bilangan mangsa yang terlibat adalah jauh lebih besar di Pulau Pinang berbanding apa yang berlaku di Kota Belud, kawasan parlimen yang diwakilinya.

Tidak beliau juga merasa simpati atau seharusnya menampakkan rasa simpati beliau kepada rakyat Pulau Pinang kerana selaku menteri di peringkat persekutuan, Abdul Rahman seharusnya menjadi 'hero' kepada semua rakyat, tak kisah di negara mana sekalipun.
Malah, Najib dan Ahmad Zahidi yang bukan sahaja mengeluarkan kenyataan yang penuh simpati dan menghulurkan bantuan, tetapi turun meranduk air bah untuk menzahirkan rasa kasihan mereka tentang nasib rakyat negeri tersebut.

Biarlah apa nak kata

Biarlah orang nak kata lakonan, wayang atau cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang, keterlibatan semua pemimpin dalam tragedi Pulau Pinang kali ini tanpa mengira parti politik adalah sangat diperlukan.

Dalam mendepani situasi yang tidak pernah dijangka atau terjadi sebelum ini, rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum atau fahaman politik memerlukan bukan sahaja bantuan berbentuk barangan dan perkhidmatan.

Malah, kehadiran para pemimpin dari peringkat negeri dan persekutuan di kawasan bencana mampu memulihkan semangat yang hilang, kesedihan serta kerisauan yang dialami oleh ribuan mangsa.

Isu PRU14

Akhir kata, semua tahu bahawa pihak cybertrooper BN akan memainkan isu ini bagi memperlekehkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP menjelang PRU14 dalam usaha menawan semula negeri tersebut.

Semua pihak juga tahu 'serangan' BN ini akan dirancakkan dengan 'pertolongan' Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah Teh Yee Cheu yang kini sedang mogok lapar.
Apapun strategi kedua-dua pihak, ketahuilah, rakyat Pulau Pinang pada masa ini dan dalam masa beberapa bulan akan datang masih lagi trauma dengan apa yang berlaku dan memerlukan segala bantuan yang mampu dihulurkan.

Hanya Allah Taala sahaja yang dapat membalas pertolongan kalian, semoga semua pihak terus berjiwa besar, positif dan memberi semangat kepada sekalian rakyat Pulau Pinang.

* AMRAN AHMAD NOR dilahirkan di Pulau Pinang dan anak kepada bekas ahli parlimen Bayan Baru, arwah Ahmad Nor dari DAP

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa